NEWS & UPDATE

Sarawak Energy Terus Bantu Pelanggan Tangani Isu Bil Elektrik

KUCHING
10 SEPTEMBER 2026

​Susulan kenyataan pada 6 September mengenai saluran perkhidmatan pelanggan bagi menangani isu bil elektrik, Sarawak Energy menegaskan komitmennya untuk terus memberikan penjelasan serta bantuan yang diperlukan.

Antara inisiatif yang telah dilaksanakan bagi memudahkan pelanggan mendapatkan bantuan ialah pembukaan kaunter khas bagi urusan bil di seluruh Sarawak sepanjang September, yang menyediakan khidmat secara bersemuka dan membolehkan isu bil disemak dengan lebih terperinci.

Yusri Safri, Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat SESCO Berhad (SESCO), cabang operasi dan runcit Sarawak Energy, berkata pelanggan yang terlibat dalam 24 kes yang dibangkitkan menerusi media sosial baru-baru ini telah dihubungi, dan semakan sedang dijalankan bagi setiap kes.

“Kami mendengar isu yang dibangkitkan pelanggan dan mahu membantu. Walaupun aduan mengenai bil elektrik yang lebih tinggi hanya melibatkan sebahagian kecil daripada kira-kira 830,000 pemegang akaun SESCO, kami memahami bahawa setiap kes boleh memberi kesan besar kepada pelanggan dan keluarga mereka. Sebab itu, setiap isu akan diberi perhatian dan bantuan yang sewajarnya,” kata Yusri.

Bil yang lebih tinggi boleh berpunca daripada beberapa faktor, termasuk peningkatan penggunaan elektrik, pelarasan selepas tempoh bacaan anggaran, baki tertunggak daripada bil terdahulu atau keadaan lain yang berkaitan dengan akaun pelanggan.

“Setiap kes dinilai berdasarkan keadaan masing-masing. Kami sentiasa meneliti aduan dan rayuan secara adil dan, jika wajar, pelarasan atau pengecualian caj akan dibuat selepas semakan,” katanya.

Yusri berkata, penggantian meter sedia ada kepada meter pintar tidak menyebabkan penggunaan elektrik atau tarif yang dikenakan meningkat secara automatik. Tambah beliau, Sarawak Energy juga menerima maklum balas positif daripada pelanggan meter pintar, khususnya fungsi meter pintar yang membolehkan pelanggan memantau penggunaan elektrik harian dan mengurus penggunaan mereka dengan lebih baik. Sehingga kini, sebanyak 270,748 meter pintar telah dipasang di seluruh Sarawak.

Kaunter khas bagi urusan bil elektrik akan terus beroperasi dari 9.00 pagi hingga 4.00 petang, Isnin hingga Jumaat, sehingga akhir September di Wisma SESCO, Kuching; Pejabat Wilayah Sibu, Jalan Deshon; Bandar Baru Permyjaya, Miri; dan Bintulu Town Square.

Pelanggan juga boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan di 1300-88-3111, menghantar e-mel ke customercare@sarawakenergy.com, menggunakan aplikasi mudah alih SEB cares atau mengunjungi mana-mana kaunter khidmat pelanggan Sarawak Energy.