NEWS & UPDATE

Sarawak Energy Perluas Perkhidmatan Pelanggan, Tangani Kebimbangan Bil Elektrik

KUCHING
7 SEPTEMBER 2026

Sarawak Energy sedang memperluaskan perkhidmatan kepada pelanggan di seluruh Sarawak bagi memudahkan pelanggan yang mempunyai kebimbangan berkaitan bil elektrik membuat semakan akaun serta mendapatkan bantuan.

Pada 2 hingga 4 September 2026, Sarawak Energy telah menyediakan kaunter perkhidmatan khas di Wisma SESCO, Kuching bagi memudahkan urusan pelanggan untuk mengemukakan maklum balas berkaitan bil dan mendapatkan semakan akaun. Inisiatif ini akan diteruskan sehingga Oktober 2026 dan diperluas ke Sibu, Bintulu dan Miri.

Sarawak Energy mempunyai mekanisme aduan sedia ada melalui saluran perkhidmatan pelanggan bagi pelanggan yang ingin mendapatkan penjelasan atau membuat semakan terhadap bil elektrik mereka. Setiap kes akan diteliti berdasarkan rekod akaun, bil dan meter yang berkaitan, dan hasil semakan akan dijelaskan secara teliti kepada pelanggan. Sebarang ketidakselarasan bacaan meter atau bil yang dikenal pasti akan disiasat dan diambil tindakan sewajarnya.

Berhubung kebimbangan berkaitan bil elektrik yang dibangkitkan baru-baru ini di Facebook, Sarawak Energy telah mengenal pasti 22 kes. Daripada jumlah tersebut, 20 pelanggan telah dihubungi, satu kes baharu sedang dalam tindakan susulan, manakala seorang pengguna pula tidak dapat dikenal pasti berdasarkan maklumat yang tersedia dalam hantaran tersebut. Pelanggan yang mempunyai pertanyaan atau kebimbangan lain berkaitan bil elektrik digalakkan menghubungi Sarawak Energy secara terus supaya akaun mereka dapat disemak dan tindakan susulan dapat diambil.

Pelanggan yang ingin mendapatkan semakan lanjut terhadap jumlah yang dikenakan boleh mengemukakan rayuan berserta maklumat dan dokumen sokongan yang berkaitan. Kemudahan pembayaran secara fleksibel juga boleh dipertimbangkan.

Laman Facebook Sarawak Energy Cares di www.facebook.com/SarawakEnergycares turut menyediakan platform kepada pelanggan untuk mengemukakan kebimbangan, pertanyaan dan maklum balas secara terus kepada Sarawak Energy untuk tindakan susulan oleh pasukan Khidmat Pelanggan.

Pelanggan boleh menghubungi Sarawak Energy melalui saluran berikut:

  • Pusat Khidmat Pelanggan: 1300-88-3111
  • E-mel: customercare@sarawakenergy.com
  • Aplikasi mudah alih SEB cares
  • Kaunter perkhidmatan pelanggan Sarawak Energy yang berhampiran